Ada tangan ghaib cuba aniaya saya - Jamal Yunos


KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mendakwa pihak yang berkuasa ketika ini membuat rancangan dengan menekan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menganiaya dirinya.
Jamal berkata, selepas beberapa peserta Baju Merah didakwa semula di mahkamah dan dikenakan jaminan, dia mula berasa serta berkeyakinan bahawa ada usaha terancang pihak tertentu yang berkuasa mengarahkan PDRM untuk mengenakannya dalam apa juga keadaan walaupun pihak PDRM memberi jaminan bahawa dia cuma diperlukan untuk melengkapkan dokumentasi jaminan polis.


"Saya bukan menolak pelaksanaan undang-undang terhadap saya tetapi, apabila nama saya disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan diletakkan dalam pemerhatian polis sebagai orang yang berbahaya sehingga mengikut maklumat saya akan ditahan di bawah akta yang tidak memungkinkan saya akan dilepas dengan jaminan.
"Cara undang-undang melayan saya seolah-olah saya bukan seorang warga negara yang dijamin hak serta kepentingan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

"Rumah saya diserbu, keluarga saya diburu ketakutan dan cara polis memburu saya seolah-olah mereka ditekan oleh penguasa yang sedang berkuasa sekarang ini dan saya dilihat seolah-olah melakukan jenayah berat serta pengkhianatan pada negara yang saya cintai ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jamal sepatutnya hadir di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang Jaya jam 2.30 petang hari ini untuk menyelesaikan dokumentasi proses ikat jaminnya dan mengadakan sidang media, namun tidak muncul selepas lebih sejam.

Jamal berkata, dia dijadikan mangsa terbaru oleh sang pendendam seperti mana-mana pemimpin lain walaupun menerima dengan hati terbuka serta berlapang dada kerajaan yang memerintah hari ini.
"Kita bercakap mengenai Rule Of Law tapi dalam kes yang membabitkan saya ini, ada tangan ghaib yang mencanai sehingga saya ditangkap untuk satu lagi tindakan yang lebih keras, " katanya.
Jelasnya, dia akan tampil di balai polis untuk menyempurnakan dokumentasi jaminannya namun, berharap pihak polis memberikan sedikit masa kepadanya.

Turut disertakan bersama kenyataan itu adalah satu video berdurasi 7 minit 37 saat yang memaparkan Jamal berlatar belakangkan kebun sawit sambil menerangkan mengenai beberapa tindakannya sebelum ini.

Dalam video itu Jamal turut memohon perlindungan daripada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kepada beliau sekiranya mahu dirinya segera tampil memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

"Saya mohon Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan jaminan kepada saya seorang pemimpin politik, pemimpin aktivis supaya tidak dizalimi, tidak dianiaya.
"Saya melihat apa yang berlaku kepada saya hari ini seperti mana Tun Dr Mahathir menzalimi (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dan rakan-rakannya ketika dahulu.

DATUK Seri Jamal Yunus. - Foto Hafiz Sohaimi

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tabung Harapan cecah RM7 juta

Kerajaan akan utamakan pekerja tempatan - Muhyiddin

Tajuddin: Masa tepat Umno-PAS bergabung