Penuhi janji 20 peratus



Penuhi janji 20 peratus
Muhammad Khalil sempat menyantuni jemaah dan penduduk di sekitar Jalan Kenanga bagi Program Derma Darah bertempat di Masjid Tengku Nik Haji, Batu Burok.
(Ubah saiz teks)
KUALA TERENGGANU – Pemuda Pas Pusat meminta kerajaan persekutuan memenuhi janji manifesto mereka untuk memberi royalti 20 peratus kepada negeri pengeluar minyak termasuk Kelantan dan Terengganu.
Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, antara perkara asas dalam sistem politik di negara ini adalah sistem kapitalisme,  di mana kerajaan pusat bertanggungjawab ke atas kerajaan-kerajaan negeri termasuklah dari sudut perjanjian-perjanjian.
“Dan Royalti ini adalah satu perjanjian yang telah sekian lama dilaksanakan iaitu sejak tahun 1979, kerajaan pusat menyalurkan kepada kerajaan negeri secara terus.  Kemudian, ia dibatalkan selepas Pas memerintah.
“Sepatutnya, kerajaan Pusat mestilah melaksanakan perjanjian tersebut dengan adil tanpa mengira mana-mana parti sebagaimana yang dilaksanakan sebelum ini.
“Malah dalam manisfesto Harapan juga ada menyebut untuk memberi royalti 20 peratus kepada negeri pengeluar minyak termasuk Kelantan dan Terengganu.
“Jadi buat masa sekarang, kita tunggu dan lihat, kita mahu kerajaan persekutuan menghormati perjanjian dan mesti menunaikannya,” katanya yang juga Adun Batu Burok kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian selepas menyantuni jemaah dan penduduk di sekitar Jalan Kenanga bagi Program Derma Darah  bertempat di Masjid Tengku Nik Haji, Batu Burok.
Semalam, Sinar Harian melaporkan, kerajaan negeri pimpinan Pas diminta untuk segera mencari formula membangunkan semula Terengganu secara keseluruhannya dan bukannya tergesa-gesa dalam isu royalti.
Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail dipetik berkata, kerajaan negeri harus sedar terdapat halangan yang sangat jelas dari sudut perundangan dalam isu royalti memandangkan kerajaan negeri pimpinan BN sebelum ini secara sukarela, telah pun menarik balik tuntutan saman bagi bayaran royalti minyak dan gas.
Oleh itu katanya, Pas perlu membuat keutamaan dan mencari kaedah terbaik mentadbir Terengganu serta menyelesaikan isu-isu tertangguh seperti projek-projek gagal dalam tempoh 15 tahun pemerintahan BN dan perbelanjaan berlebihan yang dilakukan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tabung Harapan cecah RM7 juta

Kerajaan akan utamakan pekerja tempatan - Muhyiddin

Tajuddin: Masa tepat Umno-PAS bergabung