Hukuman penjara 18 bulan Rafizi dibatal


Hukuman penjara 18 bulan Rafizi dibatal
Hukuman penjara 18 bulan Rafizi Ramli dibatalkan susulan laporan 1MDB kini tidak lagi jadi dokumen Akta Rahsia Rasmi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 1 Jun, 2018.
MAHKAMAH Rayuan mengetepikan hukuman penjara 18 bulan kepada Rafizi Ramli kerana mendedahkan sebahagian laporan Jabatan Peguam Negara mengenai 1Malaysia Development Berhad.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, hakim berkata hukuman penjara akan digantikan dengan bon berkelakuan baik selama dua tahun.
Pada 6 Disember 2017, Hakim Azman Abdullah mengetepikan sabitan kesalahan Rafizi berkaitan pemilikan sebahagian laporan 1MDB, tetapi mengekalkan sabitan bersalah kerana mendedahkan kandungan itu kepada rakyat menerusi sidang media pada Mac 2016.
Rafizi dijatuhkan 18 bulan penjara kerana mendedahkan laporan itu yang diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi.
Hakim Ahmadi Asnawi hari ini mengatakan hukuman penjara 18 bulan akan diganti dengan bon berkelakuan baik 2 tahun bernilai RM10,000 dengan seorang penjamin.
Ketika rayuan dijalankan, peguam Rafizi, Ahmad Nizam Hamid berkata hukuman penjara 18 bulan itu “berlebihan”.
“Anak guam saya (Rafizi) tidak mendedahkan laporan itu untuk kepentingan peribadi. Pendedahannya untuk kebaikan negara. Kes serupa difailkan LTAT (Lembaga Tabung Amanah Tentera) terhadap Rafizi juga digugurkan.
“Pendedahan itu, walaupun laporan itu diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi tidak menggadaikan keselamatan negara dan kerana itu kami berharap tiada hukuman penjara,” tambah Nizam.
LTAT menarik balik kes terhadap Rafizi pada 19 Mei kerana mendakwa tabung pencen tentera itu tidak mempunyai wang untuk membayar ahlinya. Naib presiden PKR itu mendakwa dana LTAT dipindahkan ke 1MDB.
Katanya, kes itu kini hampir bersifat akademik kerana Laporan Jabatan Audit Negara tentang 1MDB telah didedahkan kepada umum.
Pendakwaraya Awang Armadajaya Awang Mahmud berkata Jabatan Peguam Negara tidak mempunyai bantahan.
“Dengan situasi semasa dan laporan itu sudah dibuka kepada umum, tidak wujud keperluan untuk hukuman penjara,” katanya. – 1 Jun, 2018.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tabung Harapan cecah RM7 juta

Kerajaan akan utamakan pekerja tempatan - Muhyiddin

Tajuddin: Masa tepat Umno-PAS bergabung