Mustapa mahu pemilihan Umno kali ini bersih

Mustapa mahu pemilihan Umno kali ini bersih
Datuk Seri Mustapa Mohamed
(Ubah saiz teks)
KOTA BHARU - Pengerusi Umno Negeri Datuk Seri Mustapa Mohamed berharap pemilihan parti itu pada semua peringkat kali ini bersih daripada amalan politik wang dan berlangsung dalam suasana kekeluargaan.
Beliau berkata, pemilihan kali ini harus menjadi platform kepada akar umbi untuk memberikan mandat baharu buat barisan kepimpinan yang difikirkan mempunyai visi dan kemampuan untuk menerajui serta memulihkan imej parti dalam mendepani cabaran yang mendatang.
"Setiap ahli Umno perlu menolak budaya negatif yang telah mencalarkan imej Umno, termasuklah budaya politik ‘warlord’, sifat angkuh, amalan politik wang dan retorik perkauman yang melampau.
"Kita tidak boleh terus bersikap jumud dan memandang remeh perkara-perkara ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mustapa yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, PRU14 mencipta sejarah dan rakyat Malaysia sudah memberikan isyarat cukup jelas bahawa soal integriti, ketelusan dan tadbir urus yang baik adalah penting dalam memacu Malaysia mendepani cabaran dalam serta luar negara.
"Kekalahan ini membawa hikmah tersendiri kepada Umno apabila ia membuka ruang untuk kita melaksanakan pembaharuan dalam parti. Agenda rejuvenasi Umno menjadi lebih penting pada saat yang mencabar ini.
"Umno perlu berubah dan rakyat tidak akan menunggu kita. Oleh itu, pemimpin-pemimpin Umno pada setiap peringkat perlu bermuhasabah dan berani untuk melakukan perubahan radikal bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap parti ini," katanya. - Bernama
 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tabung Harapan cecah RM7 juta

Kerajaan akan utamakan pekerja tempatan - Muhyiddin

Tajuddin: Masa tepat Umno-PAS bergabung